Saturday, 4 October 2014

Hikmah dan Fadhilat di sebalik Ibadah Korban

Alhamdulillah...Alhamdulillah....Alhamdulillah.....Syukur tahun ini kita sekali lagi diberi kesempatan meraikan Hari Raya Aidiladha bersama keluarga tersayang. Bagi yang telah berniat untuk membuat korban , tentunya sambutan kali ini lebih dirasai dan dihayati.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu   ( Riwayat at- Tirmidzi)

Huraian Hadith: 

Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang 
dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

Hikmah korban antaranya adalah:

a) Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.
b) Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.
c) Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.


Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban amat besar. Antaranya ialah menambah amal kebajikan- Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".(Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Fadhilat korban juga adalah sebagai penebus dosa- Sabda Rasulullah s.a.w kepada Sayyidatina Fatimah:

Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".(al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

Fadhilat seterusnya bagi orang yang melakukan korban ialah dijanjikan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah- Sabda Rasulullah s.a.w:

Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla."



Wallahualam....


No comments:

Post a Comment